Kenapa Ramai Memilih Plan Takaful.

Takaful telah lama wujud di Malaysia, akan tetapi peranannya sebagai satu alternatif kepada insurans konvensional baru disedari sejak beberapa tahun lepas.
Sejak ia dilancarkan, Takaful telah menarik minat segolongan pelanggan yang lain daripada yang lain, di mana mereka biasanya mempunyai rasa tanggungjawab terhadap masyarakat. Golongan pelanggan Takaful telah berkembang pesat dan merangkumi pelbagai jenis individu tidak mengira jantina, tidak mengira pendapatan tinggi atau rendah, dan yang paling penting ia tidak memihak atau menyebelahi mana-mana kaum sekalipun. Apa yang pasti, kebanyakan mereka mempunyai nilai moral dan sosial yang tinggi.
Ini bukanlah sesuatu yang ganjil. Perkara yang sama pernah berlaku dalam industri lain.
Sebagai contoh, The Body Shop telah menggunakan prinsip yang sama dalam industri kecantikan. Jika sebelum ini kebanyakan jenama kecantikan mengenengahkan betapa bagus/cantik/berkesannya produk mereka, The Body Shop membuat kelainan dengan memperkasakan peniaga kecil dan pekerja-pekerja buruh di dalam mesej pemasaran mereka. Kaedah ini bukan sahaja memberikan imej yang baik buat The Body Shop, malah pengguna tidak kisah untuk membayar lebih untuk menyokong para peniaga dan pekerja yang dimaksudkan tadi.
Berbalik kepada industri kewangan peribadi. Dalam banyak-banyak produk, apa yang menyebabkan golongan seperti ini cenderung untuk memilih Takaful?

Beretika, tapi juga praktikal

Prinsip Islam yang diamalkan menjadikan Takaful sebagai produk pilihan, bukan sahaja kerana faktor agama, tapi kerana ianya memang praktikal dan sesuai digunakan dalam sistem insurans masa kini. Secara dasarnya, prinsip ta'awun membolehkan para pemegang polisi untuk saling berkerjasama untuk membantu antara satu sama lain, dan bukannya untuk mencari keuntungan.
Sebagai contoh, premium tidak dibayar dalam bentuk faedah, tetapi dalam bentuk sumbangan supaya pemegang polisi boleh menunaikan tanggungjawab untuk saling bantu-membantu. Tambahan lagi, jika mana-mana dana Takaful mengalami defisit, para pemegang saham akan memberi pinjaman tanpa faedah kepada dana tersebut, memastikan ia terus bertahan. Apabila defisit tersebut dilunaskan, jumlah yang dipinjam kemudiannya ditolak, dan keadaan kembali seperti biasa. Satu lagi perkara yang harus diingatkan adalah operator Takaful membayar zakat bagi pihak pemegang saham, suatu perkara yang tidak wujud dalam insurans konvensional.
Takaful juga mengandungi pelbagai unsur bagi membantu mereka yang memerlukan. Sebab itulah semakin ramai individu – Muslim ataupun tidak – mula memilih Takaful   meskipun jumlah premiumnya sedikit lebih tinggi daripada insurans konvensional. Tambahan lagi, keuntungan dan wang yang tidak dituntut akan dikembalikan kepada komuniti dan para pelanggan.
sumber :




Takaful Sedekah Kelas Pertama

Ramadan ialah ‘medan tempur’ melatih individu agar tekun melaksanakan ibadat seperti berpuasa, zakat, tadarus al-Quran, solat tarawih, sedekah dan memberi makan orang berpuasa.
Segala amalan baik juga melahirkan insan bertakwa kepada Allah SWT, iaitu orang yang benar-benar beribadah dan menahan nafsu dengan rasa takut. Antara amalan yang digalakkan untuk diperbanyakkan kerana dijanjikan ganjaran berlipat ganda ialah bersedekah.
Bersedekah lambang kesyukuran atas rezeki dikurniakan dan mengukuhkan hubungan sesama manusia. Hakikatnya, harta dimiliki bukan dimiliki seseorang kerana harta sebenar adalah apa yang memberikan nilai dan ganjaran pahala berganda.
Nabi SAW bersabda: Apabila mati anak Adam, terputus amalannya kecuali tiga, iaitu sedekah jariah, ilmu dimanfaatkan dan anak soleh mendoakan ibu bapanya.
Berdasarkan hadis itu, antara amalan berkekalan dan menjadi harta setelah mati adalah menerusi sikap suka bersedekah yang boleh dilakukan menerusi penyertaan takaful.
Memang benar untuk mengumpul harta bukan mudah, tetapi hati perlu dipujuk untuk berkongsi dan berkorban dengan orang lain demi keberkatan hidup di dunia dan akhirat. Sebenarnya harta yang diderma dan disedekah, ialah bahagian kita yang akan kekal hingga akhirat. Mana-mana wang dalam simpanan bank atau di tangan, belum tentu menjadi milik kita sepenuhnya.
Bantu orang lain
Ramai tidak menyedari pelan takaful antara pelan sedekah yang dikategorikan sebagai Sedekah Kelas Pertama. Sekiranya peserta menyertai perlindungan takaful, mereka bukan sahaja menabung untuk tabungan perlindungan diri, keluarga dan harta, bahkan untuk tabungan sedekah yang akan digunakan bagi membantu peserta lain yang ditimpa musibah.
Sumbangan peserta adalah atas dasar konsep tabaru’, iaitu pemberian tanpa mengharapkan balasan. Konsep ini memberikan kelebihan kepada takaful kerana peserta mengerjakan amalan kebaikan dengan menderma kepada mereka memerlukan.
Kontrak takaful berasaskan kepada tabaru’ (derma) dan taawun (tolong-menolong) yang semua peserta memilih atau menyertai pelan takaful bersetuju untuk tolong-menolong serta jamin-menjamin antara mereka sekiranya ditimpa musibah atau kemalangan.
Tabaru’ ialah derma ikhlas diberikan satu pihak dengan tidak meminta pertukaran atau balasan pihak lain. Semua peserta menyumbang dengan ikhlas untuk saling membantu jika ditimpa musibah.
Dengan konsep tabaru’ dan ta’awun, akan terhapus sikap keakuan, iaitu ‘saya membeli polisi ini untuk diri saya dan bukan untuk orang lain,’ tetapi konsep tabaru’ dan ta’awun. Ini menyemarakkan rasa kasih sayang sesama saudara ketika mereka mengalami kesusahan atau penderitaan.
Menerusi akad tabaru’, sumbangan peserta akan dimasukkan dalam satu Dana Khas yang berfungsi untuk menyumbangkan bantuan sumbangan kepada mana-mana peserta ditimpa musibah. Sumbangan tabaru’ yang disumbangkan tidak boleh ditarik balik peserta kerana sudah didermakan.
Keunikan Dana Tabarru’ adalah berfungsi membantu mana-mana peserta ditimpa musibah seperti dipersetujui.
Dalam aplikasi Takaful, sekiranya tidak berlaku tuntutan ke atas perkara dilindungi, sumbangan tabaru’ berperanan sebagai sumbangan amal jariah sangat istimewa. Tiada istilah ’wang hangus’ diutarakan kerana ia wang derma yang bakal diganjari jika disertakan niat Ikhlas.
Malah saham sedekah juga boleh diperoleh kepada wakil atau ejen Takaful yang terus-menerus mempromosikan konsep tabaru’ ini dan mereka juga bakal mendapat ganjaran seperti sabda Rasulullah SAW: Sesiapa menunjukkan sesuatu kebaikan, baginya ganjaran seperti ganjaran orang mengerjakannya. (HR Muslim)
Dalam pelaksanaan takaful, peserta memberikan sedekah secara sembunyi, ibarat tangan kanan memberi, tangan kiri tidak mengetahuinya. Selagi peserta menyumbang ke dalam tabung, selama itulah pahala sedekah berlipat kali ganda terutamanya dalam Ramadan akan mengalir.
Sedekah juga dapat mendekatkan diri kepada keikhlasan dan menjauhkan sifat riak kerana pemberi tidak mengenali siapakah yang akan menerima sedekah.
Oleh itu, perbuatan sedekah dalam takaful bukan sahaja menambahkan bekalan akhirat, bahkan instrumen ‘sedekah kelas pertama’ bersifat fleksibel dan memenuhi keperluan masyarakat. Mukmin terbaik banyak memberi, berbanding menerima.
Semoga kesedaran takaful sebagai Sedekah Kelas pertama akan menambahkan lagi penyertaannya daripada masyarakat, lebih-lebih lagi pada Ramadan seperti hadis diriwayatkan oleh Ibnu Abbas RA: Rasulullah SAW paling dermawan, malah lebih-lebih lagi dalam Ramadan, saat Baginda bertemu Jibril. Jibrail menemuinya setiap malam untuk mengajarkan al-Quran. Dan kedermawanan Rasulullah SAW melebihi angin berhembus.
Sumber :