Penama Harta Simati

ADAKAH tepat tindakan bagi kebanyakan suami atau isteri menamakan pasangan masing-masing sebagai penama pada akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau insurans sedangkan jelas penama hanya berperanan sebagai pemegang amanah? Melainkan plan Takaful yang mana pampasannya boleh dihibahkan, jadi penerima adalah pemilik mutlak wang pampasan tersebut mengikut bahagian yang ditetapkan oleh si pemberi. 
Selain itu, ramai juga isteri atau wanita lebih berminat menamakan anak-anaknya sebagai penama kerana membayangkan sekiranya dia meninggal dunia, wang simpanan itu akan digunakan oleh suami untuk berkahwin lain dan sebagainya.
Bagaimanapun, wang itu tidak boleh dikeluarkan sehingga anak mencapai usia 18 tahun.
Perkembangan mutakhir ini, urusan pentadbiran serta pengurusan harta individu khususnya orang Islam di negara ini semakin baik.
Ini kerana terdapat pelbagai institusi menawarkan produk pengurusan harta ketika hayat pemiliknya.
Malah, kesedaran demi kesedaran juga dipupuk di  semua peringkat masyarakat agar jelas dan memahami secara keseluruhannya mengapa pengurusan harta perlu dibuat ketika masih hidup.
Begitu juga dengan konsep penamaan harta. Ia adalah satu kaedah pengurusan harta.
Amalan penamaan atau melantik penama ke atas sesuatu harta yang disimpan dan dilaburkan di institusi kewangan diterima pakai dan sah diamalkan di Malaysia berdasarkan undang-undang meliputi penamaan ke atas harta sama ada bagi orang Islam dan bukan Islam.
Penama yang dilantik itu akan menerima faedah daripada harta atau memiliki harta itu selepas berlakunya kematian pihak penyimpan.
Penamaan atau melantik penama biasanya berlaku di KWSP, Tabung Haji, Koperasi dan lain-lain termasuk wang insurans nyawa.
Tujuan sebenar penamaan ialah bagi memudahkan penama mengeluarkan duit atau harta itu untuk dimanfaatkan oleh waris si mati dengan segera tanpa perlu mendapat perintah daripada pihak yang menguruskan harta pusaka berkenaan.
Namun ramai dalam kalangan masyarakat Islam masa kini salah faham mengenai hal berkenaan.
Ada beranggapan meletakkan penama pada sesuatu harta mereka adalah wasiat. Apabila seseorang penyimpan meninggal dunia, maka wang itu akan dibayar kepada penama yang  menerima pusaka dan akan menjadi hak mutlak penama berkenaan.
Kedudukan itu jelas menyalahi hukum faraid dan wasiat dalam Islam.
Menurut Kamus Dewan edisi ke-3, ia mentakrifkan penamaan sebagai perihal menamakan dan pencalonan.
Misalnya, surat penamaan waris itu hendaklah dianggap sebagai satu wasiat kepada seorang waris manakala penama pula ditakrifkan sebagai orang yang dinamakan (dikemukakan) sebagai waris dan lain-lain.
Penama Islam hanya berperanan sebagai wasi sahaja dan bukannya benefisiari.
Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan, penama adalah wasi dan pemegang amanah yang bertanggungjawab untuk membahagikan wang yang dinamakan kepadanya kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid.
Individu yang dinamakan adalah wasi atau pentadbir yang bertanggungjawab menguruskan pengagihan simpanan pencarum kepada waris yang berhak mengikut hukum faraid apabila pencarum meninggal dunia.
Sebagai penama, mereka berhak mengeluarkan wang berkenaan.
Namun dalam kebanyakan kes, menjadi amalan juga di dalam masyarakat kita menamakan pasangan masing-masing sebagai penama.
Malah, ada juga yang menamakan anak-anak mereka sebagai penama walaupun umur anak masih kecil dan tidak mencapai usia 18 tahun.
Keadaan itu secara asasnya tidak bersalahan dan bertentangan dengan hukum syarak.
Ini kerana penama sudah terikat sebagai orang yang berhak mengurus 
dan mentadbir harta pusaka seseorang selepas kematiannya dan bukannya sebagai pemilik mutlak harta pusaka itu.

Jika tidak dinamakan pasangan, siapa lagi yang layak dan berhak dinamakan? Di dalam hukum pembahagian secara faraid sekalipun pasangan adalah orang yang menjadi ahli waris yang layak menerima pusaka.
Penamaan pasangan sekurang-kurangnya memudahkan serta mempercepatkan penyelesaian pembahagian pusaka si mati kerana penama boleh terus mendapat atau membuat pengeluaran tanpa melalui prosedur lain dengan pelbagai pihak.
Seandainya yang meninggal itu suami dan penamanya isteri yang tidak pernah bekerja, mempuyai anak yang ramai dan masih kecil, sudah pasti akan merumitkan keadaan jika si isteri tiada tempat bergantung dan memerlukan wang dengan kadar segera.
Atau mungkin waris si mati ditimpa musibah yang amat memerlukan kewangan dengan kadar segera. Maka, masalah seperti itu dapat diatasi tanpa membebankan pihak lain.
Namun, bagi penamaan kepada anak yang di bawah umur atau ibu bapa semakin tua, ia dilihat kurang bersesuaian.
Anak yang masih kecil perlu menunggu masa yang terlalu lama untuk membolehkan harta atau wang dikeluarkan dan dibahagikan kepada waris yang berhak.
Begitu juga jika yang dinamakan itu adalah ibu bapa si mati. Jika ibu bapa sudah uzur, sukar untuk membuat urusan bagi membolehkan wang itu diagihkan kepada waris.
Justeru, untuk penamaan seseorang individu itu sebagai penama, setiap orang perlu membuat penilaian bijak dari semua aspek.
Penulis ialah peguam syarie.
sumber hmetro.com.my




4 Kaedah Kreatif untuk Memupuk Tabiat Menyimpan

Mempunyai wang simpanan adalah perkara yang penting untuk kestabilan kewangan sendiri. Simpanan itu mampu untuk membantu anda menghadapi perkara yang tidak dijangka, dan memberi anda jaring keselematan untuk masa hadapan.
Akan tetapi, kebanyakan rakyat Malaysia tiada simpanan langsung! Mengikut laporan 2017 dari Institut Khazanah, Malaysia mempunyai kadar simpanan terendah di dunia.
Tabiat untuk menabung itu tidaklah susah dan boleh dilakukan secara kreatif. Berikut adalah empat cara kreatif untuk menambah wang simpanan anda. 

1. KAEDAH PAKSA RELA

Paksa rela ini merujuk kepada proses simpanan di mana anda menggunakan akaun alternatif sebagai tabung simpanan. Caranya ialah anda cuma memasukkan sejumlah wang secara tetap ke dalam akaun tersebut.
Jika anda sudah ada lebih dari satu akaun bank, anda boleh memilih dari salah satu akaun yang kurang aktif sebagai akaun untuk simpanan paksa rela. Bagi yang hanya mempunyai satu akaun, anda boleh membuka satu akaun baharu untuk akaun simpanan paksa rela. Mudah, kan?
Cara alternatif adalah untuk membuka tiga akaun di bank yang berlainan. Kita hanya perlu pilih satu antara tiga bank ini untuk dijadikan sebagai akaun simpanan tetap.
Namun, kad ATM bagi bank itu perlu disimpan di tempat yang selamat supaya nafsu kita tidak menjumpainya. Jika anda tiada akaun simpanan, anda boleh mengunjungi cawangan bank dan membuka satu akaun khusus untuk simpanan tetap. Anda dicadangkan untuk mengkaji produk yang ditawarkan oleh pelbagai bank atau institusi kewangan.

2. KAEDAH SATU PER TIGA

Apabila gaji atau bayaran masuk ke dalam akaun kita, kita mesti sukar untuk mengatur aliran keluar masuk duit. Satu kaedah yang mudah ialah kaedah satu per tiga. Kaedah ini tidak membebankan anda kerana pecahan simpanan boleh dikatakan maksimum.
Andai kata anda memperoleh bayaran balik cukai, bonus, kerja lebih masa atau gaji daripada kerja sampingan. Jumlah yang diperoleh itu boleh diagihkan kepada tiga jumlah yang sama. Contohnya jika anda memperolehi RM900, alihkan RM300 ke akaun simpanan paksa rela, RM300 ke akaun simpanan kedua dan selebihnya untuk kegunaan diri sendiri.
Ini merupakan kaedah bijak dan tersusun kerana anda dapat melihat aliran masuk duit yang dengan lebih mudah, membina simpanan dan berbelanja dengan bijak.

3. SIMPAN MENGIKUT WARNA

Anda pasti pernah dengar tentang cara kreatif untuk menabung ini. Asingkan mata duit mengikut warnanya, dan pilih satu “warna” untuk simpan. Apabila anda dapat nota wang dengan warna tersebut, terus simpan dan jangan digunakan. Sebagai contoh, jika anda pilih biru, simpan semua RM1 yang anda ada dan jangan digunakan. Jika hijau, simpan nota wang RM5, merah, RM10, jingga, RM20. Teruskan tabiat ini untuk beberapa minggu atau bulan, dan lihat berapa banyak simpanan yang telah dicapai! Tips ini juga senang diikuti oleh si kecil untuk membina tabiat menabung.

4. PELAN PELABURAN

Sebahagian besar rakyat Malaysia tidak menjadikan pelaburan sebagai gaya hidup dan gagal untuk merancang kewangan dengan bijak. Ini menyebabkan ramai yang terperangkap dalam beban kewangan, lebih-lebih lagi apabila kos sara hidup terus meningkat. Simpanan sahaja tidak mencukupi untuk menampung kos sara hidup dan gaya hidup, anda disarankan untuk membuat pelaburan untuk mengembangkan nilai kewangan anda.
Kaedah simpanan ini melibatkan pelaburan duit ke pelaburan pasif. Mengapa pelaburan pasif? Pelaburan jenis ini mempunyai risiko yang rendah untuk mengalami kerugian. Salah satu kriteria penting dalam memilih pelan pelaburan ialah memilih jenis pelaburan yang akan memberikan pulangan yang sekurang-kurangnya sama dengan kadar inflasi semasa.
Pelan AIA A-EnrichGold-i adalah salah satu daripada pelan simpanan yang sedia ada oleh AIA. Pelan ini fleksible mengikut keperluan dan kemampuan anda, malah juga memberi perlindungan Takaful jika berlaku kematian atau kecacatan kekal.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai cara kreatif atau mudah untuk membuat simpanan. Anda boleh mengamalkan kesemua kaedah atau pilih satu kaedah yang bersesuaian dengan kemampuan anda. Kita tidak perlu bersusah payah untuk membuat simpanan, kerana ia adalah pelaburan untuk masa depan dan bersifat jangka masa panjang.
Walaupun terdapat modal minimum untuk kebanyakkan jenis pelaburan, tiada jumlah minimum untuk mula menyimpan. Apa yang penting, adalah untuk menabung secara konsisten untuk jangka masa panjang dan melaburkan semula pulangan yang diterima. Selepas 10 tahun, anda lihat sendiri bagaimana kuasa faedah kompaun mampu mengembangkan nilai simpanan anda.
Jadilah penyimpan atau pelabur yang bijak dan rancang kewangan anda dengan teliti.