KEPENTINGAN TAKAFUL PERUBATAN


  PEMBIAYAAN terhadap penjagaan kesihatan perlu dilihat sebagai antara aspek yang serius dalam kalangan masyarakat hari ini. Di negara barat, pembelian insurans perubatan, ia turut menyokong sistem pembiayaan penjagaan kesihatan mereka menjadi lebih berkesan dan teratur. Pembelian Takaful Perubatan mampu menjadi pelengkap kepada sistem pembiayaan penjagaan kesihatan yang sedia ada. 
  Malangnya, masih ramai individu di negara ini tidak memiliki takaful perubatan. Mengapa hal ini berlaku? Antara sebabnya ialah sebahagian masyarakat tidak memahami pentingnya perlindungan takaful perubatan dalam kehidupan mereka. 

  Pada dasarnya, Takaful Perubatan akan membayar perkhidmatan penjagaan kesihatan kepada pemilik atau pemegang sijil sebagai balasan bagi sumbangan bayaran mereka. Perlindungan juga meliputi risiko menghidap penyakit kronik seperti diabetes, sakit buah pinggang, kanser, alzheimer atau masalah jantung dan lain-lain 
  Risiko ini jika benar-benar berlaku bukan sahaja akan menyebabkan seseorang boleh kehilangan punca pendapatan, malah akan menimbulkan kos perbelanjaan lain seperti belanja perubatan yang sangat tinggi. Masalah kewangan Ini boleh menjejaskan kehidupan dan kedudukan kewangan bukan sahaja individu itu sendiri, malah kepada ahli keluarga mereka. 
  Melalui Takaful Perubatan, bebanan menanggung kos rawatan akan dipindahkan kepada syarikat takaful. Maka, individu tidak perlu berdepan masalah kewangan akibat kemerosotan kesihatan mereka. Masyarakat perlu memahami bahawa wujud beberapa faktor yang menyebabkan takaful perubatan semakin penting hari ini. 

Pertama 

Kos penjagaan kesihatan semakin mahal. Kos ini merangkumi kos rundingan doktor, jururawat, ubat, peralatan perubatan dan bangunan. Peningkatan dalam teknologi perubatan memerlukan jumlah dana yang sangat tinggi. Kos seperti penyelidikan perubatan yang dilakukan, pembangunan peralatan perubatan dan farmaseutikal yang baru dan kelulusan daripada pihak kerajaan memakan belanja sehingga bilion ringgit. Kos perubatan dijangka terus meningkat pada masa depan ekoran inflasi. 

Kedua

Bilangan kes penyakit kronik yang tinggi. Walaupun teknologi perubatan semakin maju, bilangan penghidap bagi penyakit kronik juga meningkat. Penyakit kronik termasuk kanser, buah pinggang, sakit jantung, kelumpuhan, penyakit hati kronik dan lain-lain lagi. Kos perubatan bagi penyakit ini memang tinggi kerana ia membabitkan rawatan yang berterusan dan konsisten. 

Ketiga


Peningkatan umur penduduk. Dalam satu kajian disimpulkan bahawa menjelang 2020, Malaysia akan menghadapi bilangan penduduk tua yang meningkat disebabkan oleh taraf kehidupan semakin baik dan kemajuan dalam bidang perubatan dan penjagaan kesihatan. 
Tahap kesihatan pada usia lanjut akan merosot dan ini secara langsung mempengaruhi kos kepada penjagaan kesihatan semakin tinggi. 

  Berasaskan kepada tiga faktor ini, masyarakat seharusnya lebih peka dengan kepentingan Takaful Perubatan kerana peranan dan fungsinya dalam memberikan sokongan kewangan yang lebih terjamin dan pada masa sama, membiayai kos penjagaan kesihatan yang semakin meningkat pada hari ini. Ia juga akan memastikan masyarakat mencapai sumber kewangan yang lebih bebas bagi menikmati kehidupan lebih terjamin dan sejahtera pada usia yang semakin tua pada suatu masa nanti. 







No comments:

Post a Comment