Plan Perubatan disediakan oleh Majikan (Plan Kumpulan) VS Plan Perubatan Peribadi.

Pertama sekali, jom kita ketahui tentang apa itu pelan takaful perubatan. Terdapat dua jenis perlindungan perubatan yang berada di pasaran:
  • Pelan Perubatan/Kad: Meliputi kos hospitalisasi dan pembedahan
  • Pendapatan Hospital: Memberi sejumlah wang kepada anda sekiranya anda dimasukkan ke hospital
     
Sekarang, mari kita bezakan pelan perubatan yang anda dapat daripada majikan dan pelan perubatan peribadi.


PERSAMAAN - PERLINDUNGAN KUMPULAN VS INDIVIDU

Persamaan antara perlindungan perubatan kumpulan dan individu sebenarnya terletak kepada fungsinya. Secara umumnya, pelan perubatan (tanpa mengira sama ada kumpulan atau individu) melindungi anda dengan meliputi kos rawatan yang ditanggung sekiranya berlaku:
  • Penyakit
  • Kemalangan
  • Hospitalisasi/ pembedahan /Unit Rawatan Rapi (ICU)
"Pelan perubatan yang disediakan oleh majikan anda dikenali sebagai perlindungan berkumpulan, kerana ianya melindungi satu kumpulan pekerja di bawah satu majikan.

Pelan perubatan yang disediakan oleh majikan anda dikenali sebagai perlindungan berkumpulan, kerana ianya melindungi satu kumpulan pekerja di bawah satu majikan. Pelan perubatan peribadi yang anda beli sendiri atau bersama keluarga, dikenali sebagai perlindungan individu.

Sesetengah pelan perubatan juga menyediakan perlindungan takaful jika berlaku kematian atau hilang upaya kekal, di mana keluarga atau tanggungan anda akan menerima bayaran sekaligus jika berlaku sesuatu kepada anda.

PERBEZAAN – PERLINDUNGAN KUMPULAN VS INDIVIDU

Mungkin terdapat perbezaan antara pelan takaful yang anda miliki dengan pelan dari majikan, ianya bergantung kepada pembekal insurans/takaful dan juga jenis polisi. Di sini ada beberapa perkara penting yang mungkin berbeza antara kedua-dua pelan ini:
Had tahunan – Berapakah jumlah yang akan dibayar oleh pembekal insurans dalam setahun untuk pelan insurans perubatan.
Had seumur hidup – Apakah jumlah maksimum yang boleh dituntut seumur hidup anda?
Kadar bilik dan penginapan harian – Apakah jenis bilik yang layak anda dapat berdasarkan pelan anda? 

PELAN MANA YANG PATUT SAYA GUNAKAN DAHULU?


Secara amnya, pelan berkumpulan mempunyai had tahunan yang lebih rendah berbanding pelan individu. Pelan mana yang perlu anda gunakan dahulu bergantung kepada:
  1. Tahap keterukan kondisi perubatan anda
  2. Keperluan pembedahan
  3. Pilihan rawatan
     
Penyakit biasa seperti selsema di mana ianya tidak memerlukan pembedahan atau rawatan berpanjangan boleh dilindungi oleh pelan perubatan berkumpulan atau individu. 

Sekiranya berlaku sesuatu yang lebih serius dan memerlukan pembedahan pesakit, hospitalisasi dan rawatan yang melebihi perlindungan perubatan berkumpulan, anda boleh menggunakan perlindungan berkumpulan dahulu dan menampung kos yang berlebihan dengan pelan individu. Sebagai contoh:
Perlindungan berkumpulan: RM30,000
Perlindungan individu: RM 80,000
Kos sebenar pembedahan dan rawatan: RM50,000
Kos pembedahan dan rawatan sebanyak RM30,000 akan ditampung oleh pelan berkumpulan dan RM20,000 oleh pelan individu.


PELAN YANG MANA SATU AKAN MENGATASI YANG LAIN?

Tiada salah satu pelan pun yang akan mengatasi yang lain, kerana kedua-dua pelan perubatan berkumpulan dan individu boleh berfungsi secara seiring. Jika pelan berkumpulan memberi anda kadar bilik dan penginapan harian yang lebih tinggi, anda boleh menggunakan pelan ini jika dimasukkan ke hospital tanpa menjejaskan pelan perlindungan individu. Walau bagaimanapun, jika kedua-dua pelan perubatan berkumpulan dan individu menawarkan kadar bilik dan penginapan harian yang sama, tidak akan berlaku sebarang perbezaan antara pelan mana pun yang anda guna, selagi ianya berada dalam kadar yang ditawarkan.